Sebagai pemain, jurulatih dan peminat ping pong pastinya mengatakan bahawa sukan ping pong adalah permainan yang paling seronok di dunia ini. Tetapi masih terdapat masyarakat di luar sana yang memandang rendah terhadap sukan ini seolah-olah ini adalah sukan yang kelas kedua dan tidak menguji kekuatan fizikal dan mental. Pandangan masyarakat yang tidak benar ini perlu diubah berdasarkan fakta-fakta yang akan dikongsikan di dalam artikel ini :
1-SEMUA PERINGKAT UMUR BOLEH BERMAIN DAN MENANG
Semua peringkat umur boleh melibatkan diri dalam sukan ping poong. Pergilah ke mana-mana kelab pastinya anda akan mendapati orang muda dan orang berumur bermain ping pong dengan penuh semangat!!. Walaupun berbeza umur, tetapi persaingan sengit tetap berlaku.
Contohnya pemain berusia 78 tahun boleh mengalahkan pemain berusia 28 tahun. Pemain berusia 10 tahun boleh menjadikan orang dewasa menangis meratapi kekalahan. Sukan ping pong bukanlah semata-mata mengharapkan kekuatan 100%. Tetapi ianya memerlukan keseimbangan daripada segi kekuatan fizikal, teknik, sentuhan dan taktik.
Pemain yang kurang kekuatan fizikal (muda atau tua) mampu bersaing hebat dengan pemain yang mempunyai keadaan fizikal yang mantap dan mampu mengalahkan mereka melalui strategi yang betul.
2.WANG, KAYA ATAU MISKIN BUKAN UKURAN
Sukan ping pong tidak memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi. Melalui perbelanjaan antara RM200 hingga RM300, anda boleh mendapatkan bat berserta getah yang bagus.
Sukan ping pong tiada kasta sama ada anda kaya atau miskin anda berhak untuk bermain. Pergilah ke mana-mana kelab ping pong atau dewan orang ramai, pasti anda tidak boleh mengenalpasti siapa golongan kaya dan siapa golongan miskin. Semuanya dilihat sama rata, pemain memakai baju logo yang sama mungkin lakarannya berlainan, logo bag yang sama tetapi talinya berbeza, ada seluar panjang dan pendek turut menggunakan logo yang sama.
Tiada siapa peduli mengenai latar belakang. Tiada siapa peduli sama ada anda jutawan atau tiada pekerjaan sama sekali. Semua perkara ini hilang apabila sama-sama memegang bat untuk memulakan permainan ping pong.
Indah!
3. PING PONG MEMPROMOSIKAN KEAMANAN ANTARABANGSA
Sukan ping pong adalah sukan antarabangsa yang mendapat pengiktirafan dunia serta menjadi salah satu permainan dalam sukan Olimpik. Ianya diiktiraf!!. Beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah mengajar pemain-pemain dari England, Scotland, Wales, Ireland, India, France, Singapore, Poland, Russia, Australia, Romania, Iran, Czech Republic, South Africa, Belgium dan banyak lagi.
Oleh itu pengetahuan saya mengenai kepelbagaian negara dan budaya telah bekembang. Saya merasakan kehangatan kerana keterujaan mendapat kenalan dan rakan-rakan yang datang dari pelbagai negara.
Anda mahukan dunia ini aman??
Sumbangkan kepada semua ahli politik dan diplomat sebuah bat dan mainlah bersama-sama nescaya keamanan akan tercapai.
4. PING PONG ADALAH SUKAN MENCABAR
Sekiranya anda ingin mencari sukan yang mudah, cubalah mencari sukan yang menggunakan raket yang besar dan gelanggang yang besar seperti tennis, skuash dan badminton. Hal ini kerana keadaan gelanggang yang besar pastinya tidak banyak bola yang terkeluar daripada landasan (out).
Namun sukan ping pong lebih mencabar . Bermain dengan bat yang kecil, bola yang kecil dan meja yang kecil menandakan kebarangkalian melakukan kesilapan sangat besar. Kesilapan teknik pukulan menyebabkan dua perkara besar berlaku iaitu bola boleh terkeluar daripada meja atau tersangkut net.
Untuk maju dalam sukan ping pong anda memerlukan hati yang kental, rela ditegur dan dimarah kerana pingpong adalah sukan yang agak susah bagi sesiapa yang tidak pernah mencuba. Ia mencabar minda anda dan mencabar ketahanan fizikal. Untuk menjadi bagus dalam sukan ping pong ia memerlukan jangka masa yang agak panjang dan kekerapan menjalani latihan. Tetapi sekali anda telah menguasai permainan ping pong ia seolah-olah menjadi suatu ketagihan.
5. SUKAN YANG MERENDAH DIRI
Tidak kira betapa hebatnya seseorang itu bermain ping pong, hormat antara satu sama lain adalah lebih utama. Apabila memperoleh kemenangan atau pungutan mata, pemain tidak meraikan secara keterlaluan. Setiap perlawanan pasti ada menang dan kalah. Pemain yang kalah akan menjadikan kekalahan itu sebagai motivasi untuk menjadi lebih baik. Pemain yang menang pula menjadikan kemenangan itu sebagai kepuasan atas penat lelah selama ini tanpa merendahkan pihak yang kalah. Tamat permainan pemain perlu bersalam sebagai tanda persahabatan dan ukhuwwah.
6. PING PONG MEWUJUDKAN SEMANGAT KEPAHLAWANAN NINJA
Dalam permainan ping pong, jarak kedua-dua pihak lawan hanyalah 3 meter sahaja. Ini menjadikan permainan menjadi sangat pantas.
Anda memerlukan kaki yang laju, reaksi pantas, startegi yang bagus dan ketahanan mental. Oleh itu, anda seolah-olah memerlukan kelajuan seperti pahlawan ninja.
Bayangkan anda sedang bermain "rally", saling berbalas "top spin" dan serangan saling bertukar arah. Kemudian disusuli dengan gema sorakan para penonton. Pertarungan antara dua seteru ini seolah-olah seperti antara ninja hitam dan ninja merah yang saling berbalas serangan.
7. PING PONG BAGUS UNTUK KESIHATAN OTAK
Sukan ping pong terbukti bagus untuk mengekalkan kesihatan otak. Hakikatnya, rata-rata pemikiran pemain ping pong boleh dikatakan agak tajam kerana permainan ini memerlukan kepantasan daripada semua sudut. Kajian sains kini menyokong kenyataan ini. Saya bukanlah seorang saintis, tetapi saya percaya seandainya para saintis mengatakan sukan ping pong bagus untuk otak, saya tidak akan berdebat dengan mereka.
8. PING PONG MAMPU MELEGAKAN STRESS
Kehidupan sentiasa dikelilingi oleh pelbagai perkara yang kadangkala menjadi penyebab kepada stress. Sekolah, tempat kerja, hubungan sesama manusia dan keluarga antara faktor yang menyumbang kepada stress.
Carilah satu aktiviti yang boleh mendatangkan kegembiraan seperti sukan ping pong yang agak santai
Ambillah bat ping pong anda, pukul beberapa bola sehingga anda merasa puas, lupakan segala kebimbangan.
Apabila anda melakukan latihan, endorphins akan dilepaskan. Percayalah, akan datang perasaan positif yang melegakan keseluruhan tubuh anda.
Setiap kali anda selesai melakukan aktiviti ping pong, hadirnya perasaan hebat dan keyakinan untuk menyelesaikan permasalahan.
9. ANDA BEBAS BERMAIN DI MANA-MANA
Ping pong adalah permainan yang boleh "hidup" di mana-mana sahaja, tidak memerlukan ruang yang besar dan bilangan yang ramai. Di dewan, kaki lima, padang permainan, balai raya, masjid, surau, dihadapan rumah atau di mana-mana sahaja. Asalkan ada meja, bola, bat, sedikit penghadang bola dan seorang rakan, maka terus sahaja boleh bermain tanpa ada apa-apa halangan atau sekatan.
Mudah bukan??
Ringkas dan tepat
Semoga perkongsian ini dapat menambah sedikit sebanyak info berkaitan sukan ping pong dan menyuburkan minat terhadap sukan ping pong di negara Malaysia yang amat kami sayangi ini.
JOM SHARE!!